Logo bulan atau PN ikut kesesuaian

ALOR SETAR 26 Jun – Pas boleh menggunakan logo tradisi imej bulan atau lambang Perikatan Nasional (PN) mengikut kesesuaian negeri parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pilihan Raya  Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penggunaan logo adalah penting dalam mana-mana pilihan raya kerana ia mempunyai rahsia tersendiri termasuk memberi kesan psikologi kepada pengundi.

Bagaimanapun penggunaan logo bagi Pas pada PRU-15 akan dimuktamadkan pucuk pimpinan parti termasuk dibincangkan di peringkat PN.

“Sebelum ini ada pandangan kita guna logo PN seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan kemudian di Johor, tetapi kali ini perlu ada perbincangan lagi untuk kita putuskan logo akan digunakan.

“Semalam saya ada di Kelantan, dan Pas Kelantan berpandangan lebih sesuai guna logo Pas dan negeri lain mungkin boleh guna logo PN. Logo ada rahsianya kerana ia boleh melambangkan kita dalam pakatan yang memberi kesan keyakinan rakyat.

“Begitu juga jika Pas guna logo gambar sendiri, ia turut memberi kesan psikologi. Pada saya dua-dua boleh digunakan, namun bergantung kepada perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas,  Hashim Jasin memberi bayangan berkemungkinan parti itu menggunakan logo imej bulan berikutan dakwaan pengundi menjadi keliru ketika ia digunakan pada PRN Melaka dan Johor kerana menyangka ia logo Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya menegaskan Pas masih menggunakan logo PN dan cadangan Hashim adalah pandangan peribadi beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi kelmarin, yang berpendapat PRU-15 perlu disegerakan, Muhammad Sanusi berkata, pilihan raya boleh dipercepat sekiranya semua persediaan melaksanakannya sudah disiapkan semua pihak.

“Untuk buat PRU-15 semua pihak kena sedia. Pilihan raya kali ini akan ada pertambahan pengundi yang banyak, malah ada undi 18 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersedia termasuk menyiapkan semua pusat mengundi.

“Bagi parti pula, saya rasa semua sudah bersedia sebelum ini cuma keadaan tidak mengizinkan apabila kita berhadapan pandemik Covid-19. Pas sendiri sudah bersedia dan kita yakin akan menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment