Persiaran Institut kini Persiaran Tun Arshad

SHAH ALAM 23 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam, Selangor ditukar kepada Persiaran Tun Arshad, bersempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi Mara (ITM).

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini berkata, titah berkenaan sudah diluluskan dan akan dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama Universiti Teknologi Mara/UiTM) hingga ke persimpangan lampu isyarat (berhampiran Universiti Selangor) Seksyen 7, Shah Alam.

Penukaran nama persiaran ini bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad Ayub yang juga tokoh pendidikan negara dihormati dan disegani serta banyak berjasa memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM.

Arshad, 93, meninggal dunia pada 14 Jun lalu. Allahyarham berkhidmat sebagai Pengarah ITM sejak 1967 hingga 1975 yang kini dikenali sebagai UiTM dan sepanjang tempoh hampir lapan tahun menerajui institusi pengajian tinggi itu, menyaksikan ITM meraih pelbagai kemajuan dalam melahirkan modal insan Bumiputera sehinggakan Arshad digelar ‘arkitek’ pembangunan dan perkembangan unggul ITM.

Sepanjang hayatnya, Arshad menabur bakti di UiTM, seterusnya dilantik Pro-Canselor selepas bersara daripada perkhidmatan awam setelah berkhidmat selama 32 tahun.

Allahyarham juga pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, selain pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga dilantik Canselor Universiti Antarabangsa INTI yang pertama pada 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya.

Related posts

Leave a Comment