Subsidi minyak masak mansuh 1 Julai

PUTRAJAYA 21 Jun – Subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi.

Keputusan itu menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.

“Ini (pemansuhan subsidi) tidak termasuk yang RM2.50 dijual dalam polybag 1kg, itu diteruskan untuk semua warganegara dan pengguna, itu diteruskan.

“Tetapi yang dimansuhkan subsidinya, saya sebutkan sekali lagi yang berbotol, yang diberi subsidi pada tahun lepas… sepatutnya secara sementara, mula-mula untuk tiga bulan sahaja, tapi dilanjutkan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Mengenai Isu Harga dan Bekalan bersama pemain-pemain industri, persatuan pengguna, ahli akademik, ahli ekonomi dan ketua-ketua pengarang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pihaknya menerima pandangan dan cadangan yang positif daripada pihak-pihak yang menyertai sesi libat urus kali ini.

Menerusi sesi tersebut antara cadangan yang dikemukakan adalah untuk memperkasakan kesedaran pengguna dan mengubah gaya hidup dalam menghadapi isu kenaikan harga.

Related posts

Leave a Comment