Jangan angkuh guna jentera kerajaan

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Anggota Kabinet yang mempunyai kelebihan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen perlu rendah diri, tidak berlagak dan menunjuk-nunjuk seolah-olah mereka yang membeli jentera itu menggunakan duit poket sendiri.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dalam kenyataan mengingatkan tentang amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen,” kata BERSIH dalam satu kenyataan.

Menurut BERSIH, penggunaan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen hendaklah dielakkan sebaliknya menjalankan tugas dengan penuh profesional dan seboleh-bolehnya dipisahkan daripada kegiatan berkempen untuk parti atau calon mereka.

BERSIH mengambil maklum bahawa Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution dalam rangka kerja mereka telah melawat sebuah kawasan FELDA di Kedah dan menggunakan helikopter kerajaan bagi tujuan tersebut.

“Untuk situasi sebegini, BERSIH berpendapat bahawa penggunaan jentera Kerajaan untuk aktiviti kempen munasabah atas pertimbangan pragmatik dan keselamatan jika berlaku selepas perjalanan tugas kerajaan,” kata kenyataan itu.

Bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menteri juga perlu membayar secara pro-rata kos berlebihan seperti kos minyak helikopter atau kenderaan.

Dan demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam.

Sebelum ini, tindakan Perdana Menteri menggunakan helikopter ke kawasan luar bandar di Kedah menarik perhatian ramai dan mendapat kritikan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dalam kempennya apabila menganggap Perdana Menteri sepatutnya boleh menggunakan kenderaan darat lain.

Bagaimanapun Perdana Menteri menjawab kritikan itu dengan menegaskan, beliau  yang juga Menteri Kewangan berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli? Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa? Kerajaan punya, bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, Perdana Menteri boleh pakai,” katanya di Felda Teloi Timur.

BERSIH juga mengingatkan untuk sebarang pengumuman dasar dan peruntukan, prinsip Tiada 3C (tiada kempen, tiada syarat atas pemberian, tiada calon di pentas) mesti dipatuhi dengan tegas.

Selain itu BERSIH berpendapat, penggunaan jentera dan sumber kerajaan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) ini menunjukkan penggubalan undang-undang baharu untuk mengawal keputusan, tindakan dan penggunaan sumber kerajaan oleh kedua-dua kerajaan sementara (seperti kerajaan negeri dalam PRN) dan kerajaan bukan sementara (seperti kerajaan Persekutuan pada PRN) dalam tempoh pilihan raya perlu disegerakan.

“Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya,” kata BERSIH.

Related posts

Leave a Comment