Sifar kematian selepas 18 bulan

PUTRAJAYA 20 Jun – Buat kali pertama selepas 18 bulan, Malaysia semalam, tidak merekodkan sebarang kes kematian akibat jangkitan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kali terakhir negara merekodkan sifar kes kematian ialah pada 18 Disember 2020.

“Hari ini (19 Jun), buat pertama kali sejak 18 Disember 2020, Malaysia melaporkan sifar kematian akibat Covid-19.

“Peralihan berterusan kita kepada fasa endemik ditentu ukur dan dipacu oleh data. Sama-samalah kita berdoa ia terus membuahkan hasil,” katanya dalam ciapan di Twitter, malam tadi.

Untuk rekod, Malaysia kali pertama mencatatkan kes kematian akibat Covid-19 ialah pada 17 Mac 2020 dan sehingga kini jumlah angka korban terus meningkat kepada 35,732 kes.

Daripada jumlah yang dilaporkan itu, sebanyak 7,579 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) atau pesakit meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.

Sepanjang penularan Covid-19 di negara ini, paling tinggi kes kematian dilaporkan adalah pada 22 September 2021 dengan 487 kes direkodkan dan daripada jumlah berkenaan sejumlah 161 kes adalah BID.

Related posts

Leave a Comment