70,000 tiket kereta api terjual

JOHOR BAHRU 20 Jun – Hampir 70,000 tiket terjual untuk tempoh satu bulan bagi perkhidmatan kereta api ulang-alik antara Stesen Woodlands dengan Johor Bahru (JB) Sentral yang beroperasi semula semalam setelah dua tahun dihentikan.

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berkata pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau itu dilihat dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor setelah laluan itu ditutup pada 24 Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.

“Untuk peringkat awal, seminggu pertama ini kami hanya menyasarkan 240 penumpang (satu perjalanan) kerana perlu menyelaraskan (beberapa perkara seperti) MySejahtera dan ciri-ciri lain yang perlu dibuat penyelarasan.

“Kami sasarkan 7,000 orang penumpang (sehari) dapat menggunakan perkhidmatan ini apabila ia telah beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan kereta api Shuttle Tebrau, di Stesen JB Sentral.

Sebanyak 31 perkhidmatan beroperasi setiap hari membabitkan 18 perkhidmatan dari JB Sentral ke Woodlands, manakala 13 lagi perkhidmatan dari Woodlands ke JB Sentral, dengan kekerapan 30 minit pada waktu puncak.

Perkhidmatan dari Stesen JB Sentral bermula pada 5 pagi dan berakhir pada 10.45 malam, manakala Stesen Woodlands bermula 8.30 pagi dan kereta api terakhir pada 11.45 malam dengan tambang RM5 (S$1.58) sehala dari JB Sentral dan SG$5 dari Woodlands.

Related posts

Leave a Comment