PilgrimSG bantu jemaah Singapura

SINGAPURA 19 Jun – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada tahun ini memperkenalkan aplikasi baru PilgrimSG bagi kemudahan jemaaah negara itu ketika berada di dua Tanah Suci, kata ketua delegasi jemaah Masagos Zulkifli.

Menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu, melalui aplikasi itu, jemaah boleh mendapatkan khidmat seperti membuat temu janji untuk bertemu doktor di klinik yang diuruskan Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO).

Ini akan membantu menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi beratur untuk mendapatkan perkhidmatan sedemikian.

Selain itu, jemaah juga boleh mendapatkan bantuan kecemasan melalui ciri geolokasi, yang membolehkan pihak SPAO mengenal pasti lokasi mereka menerusi GPS di samping menerima perkembangan terkini sepanjang ibadah.

Masagos dalam satu majlis taklimat bersama bakal jemaah semalam juga mengingatkan jemaah menjaga kesihatan serta menggesa mereka mendapatkan suntikan bagi meningitis, influenza dan pneumococcal.

Beliau meminta para jemaah supaya terus berwaspada, menjaga kebersihan dan kesihatan serta hadkan interaksi sosial agar keberangkatan tidak terhalang.

“Seperti yang anda sedia maklum, semua jemaah Haji tahun ini juga harus diuji negatif Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Oleh itu, untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 sebelum berangkat, kami sangat menggalakkan agar kurangkan interaksi harian dengan ahli keluarga dan rakan-rakan, sekurang-kurangnya seminggu sebelum berangkat,” katanya.

Masagos akan dibantu sebuah pasukan yang terdiri daripada empat doktor, enam jururawat dan enam pegawai pentadbiran yang akan turut bersama jemaah sepanjang perjalanan di Jeddah, Makkah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Madinah.

Seramai 407 jemaah bakal menunaikan haji tahun ini dengan 95 peratus melakukannya buat kali pertama.

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura dijadual berangkat ke Jeddah pada 25 Jun dan tarikh akhir penerbangan masuk ke Arab Saudi pula adalah pada 3 Julai.

Related posts

Leave a Comment