KUCHING 19 Jun – Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi dilantik semula sebagai Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi tempoh 2022 – 2025.
Perkara itu diumumkan presiden parti, Abang Johari Tun Openg semasa Perhimpunan Agung PBB Ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Turut kekal ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Ibrahim Baki selaku Timbalan Setiausaha Agung parti bagi tempoh yang sama.
Sementara itu Pengerusi Tetap Parti PBB, Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan 16 Ahli Majlis Tertinggi (MT) PBB baharu daripada sayap Bumiputera
Mereka adalah Dr Hazland Abang Hipni (867), Mohammad Razi Sitam (860), Abdullah Saidol (836), Aidel Lariwoo (830), Fazzrudin Abdul Rahman (824), Shafiee Ahmad (824) dan Razali Gapor (806).
Selain itu, Awla Dris, Yusuf Abdul Wahab, Dr Juanda Jaya, Mohamad Duri, Awangku Jinal Abedin Pangiran Jaya, Hairdar Khan Asghar Khan, Mohammed Kamaluddin Mohamad Effendie, Mohamad Sardon Zainal dan Syed Hamzah Wan Hamid Edruce.
Pemilihan bagi Ahli Majlis Tertinggi telah dilaksanakan pada hari kedua konvensyen yang berlangsung sehingga pukul 5 petang manakala jawatan tertinggi induk tidak dipertandingkan.
