Warisan intai kerusi di enam negeri

IPOH 18 Jun – Walaupun tewas semua enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, parti Warisan sedang mengenal pasti kerusi di sekurang-kurangnya enam negeri di Semenanjung untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal, berkata selain Perak, Warisan juga berhasrat bertanding di Johor, Selangor, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan

“Kita tidak akan bertanding semua kerusi, kita akan memilih lokasi yang bersesuaian yang kita yakin boleh menang dan ada potensi. Contohnya, kalau kerusi Parlimen itu kita bertanding, kita bertanding juga untuk DUN di kawasan Parlimen berkenaan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian & Sembang Santai di Taman Shatin Baru, di sini hari ini.

Setakat ini, beliau mendakwa, Warisan mempunyai lebih 1,000 ahli di Perak, membabitkan lima bahagian, iaitu Tambun, Ipoh Barat, Ipoh Timor, Parit dan Padang Rengas.

Secara keseluruhan di Semenanjung, katanya, parti berkenaan mempunyai kira-kira 8,000 ahli yang sudah mendaftar termasuk di Johor dan Selangor.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, partinya tidak akan bertanding di semua negeri, sebaliknya memberi tumpuan kepada kawasan yang agak padat dengan pengundi pelbagai kaum.

“Bukan senang untuk parti baharu bertanding. Selepas pilihan raya nanti, kita lihat bagaimana perjalanan parti dan buat masa ini kita masih dalam proses hendak memperkuatkan Warisan itu sendiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment