Azmin Ali kekal bersama Bersatu

KUALA LUMPUR 17 Jun – Selepas timbul khabar angin akan meninggalkan Bersatu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Mohamed Azmin Ali tampil menegaskan idealisme dan prinsip perjuangan parti itu adalah jati dirinya.

Katanya m Bersatu akan bergerak bersama untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus baik serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran rakyat.

“Citra Bersatu yang dinamik, progresif dan inklusif amat bertepatan dengan aspirasi zaman demi membangun Malaysia yang bersatu padu dan berupaya mendepani cabaran semasa.

Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menzahirkan terima kasih terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin di atas keyakinan dan kepercayaan beliau.

Katanya, dasar dan inisiatif yang diperkenalkan Muhyiddin khususnya pakej rangsangan ekonomi yang proaktif serta keputusan pantas yang tepat pada masanya mengenai pelaksanaan program vaksinasi besar-besaran, telah meletakkan Malaysia di atas landasan yang kukuh dan berdaya tahan bagi menjamin kejayaan pemulihan ekonomi dan usaha menangani krisis kesihatan.

Menurut beliau, Malaysia telah diiktiraf sebagai berjaya mengurus pandemik dengan efektif dan bertanggungjawab serta kebijakan yang mesra perniagaan telah berjaya mencipta pekerjaan dan kemakmuran untuk rakyat sekaligus merancakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan pasca pandemik.

“Bersatu adalah sebuah parti yang berakar dari identiti Melayu dan Bumiputera demi memelihara hak dan kedaulatan bangsa Melayu dan agama Islam, namun sebagai wadah politik yang berpandangan jauh ke hadapan, Bersatu juga mahu mendakap realiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama,” katanya.

Bersatu telah berani melakukan anjakan paradigma dengan meminda Perlembagaan Parti untuk meraikan kepelbagaian kaum dan budaya yang akan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment