NEW YORK 17 Jun – Sebanyak 16 bandar utama di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada dinamakan sebagai lokasi perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 yang bakal menyaksikan penyertaan 48 pasukan.
Dalam satu pengumuman yang disiarkan di televisyen di New York pada 16 Jun, para pegawai mengesahkan 11 bandar di AS sebagai tempat perlawanan tuan rumah, bersama dengan tiga di Mexico dan dua di Kanada.
Ini kali pertama temasya Piala Dunia dikongsi tiga negara dan yang pertama menyaksikan penyertaan 48 pasukan.
Bandar di AS yang tersenarai adalah Atlanta, Boston, Dallas, Houston, Kansas City, Los Angeles, Miami, New York/New Jersey, Philadelphia, San Francisco Bay Area dan Seattle.
Dua bandar di Kanada pula ialah Toronto dan Vancouver manakala Mexico menampilkan Guadalajara, Mexico City dan Monterrey.
Mexico menjadi negara pertama menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas Piala Dunia 1970 dan 1986 manakala AS pada 1994 sementara Kanada pula mencipta sejarah kali pertama menjadi penganjur.
Kebanyakan perlawanan bakal berlangsung di Amerika Syarikat iaitu 60 perlawanan dengan Mexico dan Kanada masing-masing mengadakan 10 perlawanan.
Presiden FIFA Gianni Infantino berkata dalam temu bual di Fox Television bahawa keputusan mengenai tempat bagi perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir belum ditentukan.
“Kami akan mengambil masa untuk membuat keputusan itu,” kata Infantino.
Meskipun ketiga-tiga negara tuan rumah akan berkongsi perlawanan dari peringkat kumpulan hingga ke 16 terakhir, AS akan menganjurkan semua perlawanan dari suku akhir dan seterusnya.
Stadium ikonik Azteca di Mexico City dan Stadium SoFi di Los Angeles dinamakan antara 16 tempat yang bakal menjadi tuan rumah perlawanan.
