Jelaskan kesalahan mansuh hukuman mati

KUALA LUMPUR 16 Jun – Kerajaan perlu memperinci jenis kesalahan jenayah yang akan dimansuhkan hukuman mati mandatori, kata Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Beliau berkata butiran mengenai perkara itu belum dinyatakan dengan jelas sebaliknya secara umum sahaja iaitu hukuman mati mandatori dihapuskan tetapi adakah semua kesalahan membabitkan hukuman mati mandatori akan diubah?

“Kesalahan lain contohnya kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja di negeri dan Yang Dipertua Negeri adakah hukuman mati mandatori di bawah seksyen ini juga akan dihapuskan? Kalaulah orang itu bunuh Raja, adakah orang itu dihukum penjara seumur hidup sahaja? Ini sangat berbahaya kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV bertajuk ‘Mansuh Hukuman Mati Mandatori: Satu Transformasi Undang-Undang’ di sini, malam tadi.

Shamrahayu berkata, perincian itu juga diperlukan kerana kerajaan akan menjalankan kajian awam berhubung kewajaran pelaksanaan hukuman mati mandatori.

“Saya fikir jenis-jenis kesalahan yang terlibat perlu dibawa kepada pengetahuan masyarakat, jangan sorok, kena telus… kadang-kadang rakyat perlukan pendidikan berkaitan undang-undang lebih mendalam, bukan saya kata rakyat tidak tahu tetapi penjelasan lebih mendalam mengenai sesuatu isu itu perlu.

“Selain itu, pemansuhan hukuman mati mandatori ini bergantung kepada kehendak rakyat, kalau masyarakat masih lagi rasa hukuman mati mandatori itu perlu, saya fikir pandangan masyarakat harus diambil kira sebab ia bukan sahaja membabitkan kepentingan negara tetapi juga rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment