Garis panduan melawat Jepun

TOKYO: Pelancong yang tiba di Jepun perlu mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan dan membeli insurans kesihatan persendirian.

Garis panduan terkini itu ditetapkan kerajaan Jepun menjelang pembukaan semula sempadan, yang dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat.

Syarikat pelancongan pula perlu memberi penjelasan mengenai peraturan itu dan hanya menerima tempahan bagi pelanggan yang bersetuju untuk mematuhinya.

Penjelasan itu termasuk amaran bahawa pelancong mungkin diarah meninggalkan Jepun jika gagal mematuhi peraturan berkenaan.

Garis panduan yang diumumkan Agensi Pelancongan Kerajaan Jepun awal minggu ini, adalah sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula kemasukan pelancong selepas sempadan negara itu ditutup sejak awal 2020.

Jepun mula membenarkan kemasukan pelancong lawatan berpakej sejak 10 Jun lalu.

Walaupun jumlah kehadiran akan melonjak sehingga 20,000 pelancong sehari, ia masih sedikit berbanding sebelum pandemik.

Jepun hanya membenarkan kemasukan pelancong dari negara dan wilayah mencatatkan jumlah jangkitan yang rendah, terbahagi kepada tiga kategori iaitu merah, kuning dan biru, bergantung pada penilaian risiko virus masing-masing.

Pelawat yang tiba dari 98 negara atau wilayah di dalam senarai biru tidak perlu dikuarantin selagi mana melepasi saringan Covid-19 sebelum berlepas manakala  senarai kuning perlu menunjukkan bukti vaksinasi untuk tidak dikuarantin.

Related posts

Leave a Comment