Lebih 1,000 kes cacar monyet di 29 negara

LONDON: Terdapat lebih 1,000 kes cacar monyet dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di 29 negara lain di mana Afrika menjadi negara penularan berlaku, kata Ketua Pengarahnya, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata risiko cacar monyet di negara bukan endemik adalah nyata, tetapi boleh dicegah pada ketika ini.

Katanya, wabak itu menunjukkan tanda penularan komuniti di beberapa negara dan WHO mengesyorkan orang yang menghidap cacar monyet diasingkan di rumah.

Sementara itu, ketua teknikal WHO, Dr Rosamund Lewis, berkata ‘hubungan antara individu’ ialah cara utama cacar monyet merebak, walaupun risiko penghantaran aerosol belum diketahui sepenuhnya.

“Pekerja kesihatan yang menjaga pesakit cacar monyet harus memakai pelitup muka,” katanya.

Menurut WHO, kebanyakan kes dilaporkan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, bagaimanapun kes terhadap wanita juga turut dilaporkan.

Selain itu, pemvaksinan kepada golongan sasaran dalam tempoh empat hari pendedahan boleh dipertimbangkan untuk sesetengah negara.

Pegawai kanan WHO, Sylvie Briand, berkata agensi itu sedang menilai potensi vaksin yang disimpan untuk melawan cacar dan menghubungi pengeluar serta negara yang sebelum ini telah menjanjikan vaksin.

Malah, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang bekerjasama dengan organisasi termasuk UNAids dan kumpulan komuniti untuk meningkatkan kesedaran dan menghentikan penularan.

Related posts

Leave a Comment