RUU : Cadang Parlimen mesyuarat Julai

KUALA LUMPUR 8 Jun – Perdana Menteri diminta mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen, pada minggu pertama bulan depan bagi membentang RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022.

Permintaan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Pengerusinya, Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata mesyuarat jawatankuasa bilangan enam 2022 sudah bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini, lima persoalan dasar dibangkitkan Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 1 Jun lalu dan sudah diulas serta dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dalam mesyuarat semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara ini akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), turut memaklumkan mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas.

Jawatankuasa Pilihan Khas ini secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan Julai 2022.

“Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini sudah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu.

“Pencapaian ini hasil komitmen bersama semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen,” katanya.

Mesyuarat Kabinet sebelum Ini membangkitkan dua perkara untuk diperinci dan diteliti semula dalam draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Selain isu berkenaan, Wan Junaidi berkata, Jemaah Menteri dalam mesyuarat sama turut tidak membantah draf dicadang Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menimbang RUU berkenaan.

Related posts

Leave a Comment