Brunei Darussalam rombak Kabinet

BANDAR SERI BEGAWAN 8 Jun –  Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan rombakan awal menteri Kabinet berkuatkuasa semalam yang menyaksikan beberapa orang menteri digugurkan.

Dalam siaran ucapan khasnya di seluruh negara, baginda berkata, Kabinet baharu akan berkhidmat untuk tempoh empat tahun.

Baginda bertitah, tiba masanya untuk menukar dan melantik beberapa Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri yang baharu, untuk mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan, dalam meningkatkan keberkesanannya.

Titah baginda pelantikan itu adalah amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh taat setia dan bertanggungjawab.

”Tidak siapa pun boleh mengabaikan amanah kerana amanah itu adalah ia ibarat perjanjian suci kita dengan Allah Subhanahu Wata’ala,” titah baginda semasa mengisytiharkan Pelantikan dan Pertukaran beberapa Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri, yang berlangsung di Istana Nurul Iman semalam

Buat julung kalinya juga, wanita dilantik sebagai menteri dalam kerajaan Brunei iaitu Menteri Pendidikan, Romaizah Mohd Salleh.

Sultan pula mengekalkan jawatan tertingginya sebagai Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan dan Ekonomi.

Bagaimanapun, menteri-menteri kanan berundur, termasuk Menteri Dalam Negeri, Awang Abu Bakar Apong, Menteri Sumber Utama dan Pelancongan, Ali Apong serta Menteri Pembangunan, Suhaimi Gafar.

Beberapa muka lama akan terus berkhidmat dengan portfolio sama antaranya Menteri Hal Ehwal Agama, Awang Badaruddin Awang Othman, Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Mohd Amin Liew Abdullah, Menteri Luar Negeri Kedua, Erywan Mohd Yusof dan Menteri Kesihatan, Md Isham Jaafar.

Kali terakhir Kabinet dirombak pada Januari 2018 dengan tempoh lima tahun, apabila beberapa menteri veteran diganti.

Baginda turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri yang tidak lagi dilantik.

“Beta tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi di lantik, di atas khidmat dan jasa mereka yang disumbangkan selama ini, semoga Allah jua yang akan membalas dengan ganjaran pahala serta kebahagiaan yang berterusan,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment