Banjir mungkin berulang lagi

KUALA LUMPUR 8 Jun –  Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menolak kemungkinan banjir besar berulang di negara ini setiap tahun, kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata dari segi saintifik, faktor utama penyebabnya ialah hujan lebat berterusan akibat luruan monsun dan kemunculan sistem tekanan rendah di rantau negara.

Katanya, Fenomena La Nina pula menyebabkan rantau di barat Pasifik termasuk Malaysia, menjadi lebih lembap dan seterusnya taburan hujan boleh menjadi lebih tinggi berbanding kebiasaan.

Beliau berkata, berdasarkan status terkini Ayunan Selatan atau ENSO yang dikemaskini semalam (7 Jun), keadaan La Nina lemah sedang berlaku dan dijangka berterusan dengan kebarangkalian 58 peratus sehingga Oktober 2022.

Keadaan cuaca dijangka lebih lembap terutama di pantai timur Semenanjung, utara dan pedalaman Sarawak serta barat Sabah sepanjang tempoh ramalan.

“Lazimnya, hujan berterusan berlaku semasa Monsun Timur Laut di antara November hingga Mac dan selalunya lebih cenderung di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Namun begitu, ia boleh juga berlaku di negeri-negeri lain seperti yang terjadi pada Disember tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Dr Azizan Abu Samah, dilaporkan berkata bencana banjir pada akhir tahun lalu berisiko berulang kembali apabila jumlah curahan hujan diramal sama atau hampir sama dengan keadaan tersebut untuk hujung tahun ini.

Sementara itu, Muhammad Helmi berkata, MetMalaysia tidak menjangkakan akan berlaku kemarau, cuaca panas yang ekstrem atau tempoh hari tanpa hujan yang berpanjangan pada tahun ini.

“Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, media sosial rasmi Jabatan dan aplikasi mobil myCuaca.

“Melalui aplikasi myCuaca, ia dapat membantu rakyat Malaysia memperoleh maklumat-maklumat berkaitan cuaca, gempa bumi dan amaran-amaran cuaca buruk di darat, laut dan juga amaran kemungkinan ancaman kejadian tsunami di kawasan negara.

“Selain itu, satu lagi aplikasi mudah alih yang telah dilancarkan pada 23 Mac 2022 yang lalu adalah RakanMET,” katanya.

RakanMET adalah medium interaksi dua hala antara MetMalaysia dengan orang awam untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak kerajaan di samping mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.

Related posts

Leave a Comment