Vaksinasi selamat semasa kehamilan

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Tiada bukti kecacatan pada bayi selepas menerima suntikan vaksin sebaliknya Persatuan Obstetrik dan Ginekologi menyatakan banyak data menunjukkan, vaksinasi adalah selamat ketika  kehamilan dan penyusuan.

Pemegang Amanah Persatuan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Alex Mathews,  Dr Aziz Yahya, Dr Johari Bux, Dr Gunasegaran Rajan dan Dr Ng Kwee Boon dalam kenyataan berkata kesan sampingan dalam kalangan ibu jarang berlaku dan ia adalah sama dengan mereka yang tidak hamil.

Katanya terdapat potensi penurunan risiko kelahiran pramatang dan kelahiran mati jika seorang ibu dijangkiti Covid-19 selepas divaksin

Sehubungan itu, mereka menasihatkan ibu yang hamil mengambil suntikan vaksin secepat mungkin, lebih baik selepas 12 minggu kehamilan tetapi dalam keadaan berisiko tinggi seperti bagi kebanyakan populasi hamil di Malaysia, keseimbangan risiko adalah lebih selamat jika diambil pada bila-bila masa kehamilan.

“Ia juga selamat jika anda menyusukan dan tidak perlu berhenti berbuat demikian. Sekiranya anda merancang untuk hamil, yakinlah bahawa ia selamat dan tidak perlu menunda kehamilan.

“Sekiranya anda belum menerima vaksin, hubungi doktor secepat mungkin. Anda juga boleh berbincang dengan doktor mengenai masalah anda sekiranya ada,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Persatuan itu memahami, beberapa kebimbangan mengenai vaksinasi atau ubat-ubatan yang diambil oleh ibu ketika mengandung dan menyusu.

Bagaimanapun persatuan berkata, semua vaksin selamat untuk ibu hamil dan vaksin mRNA pada masa ini mempunyai data keselamatan terbesar.

Katanya, kerajaan mengutamakan ibu hamil sebagai keutamaan dalam Program Imunisasi Nasional dan melancarkan Pfizer-Comirnaty (mRNA) untuk wanita dalam kategori itu.

Related posts

Leave a Comment