Warisan saman ADUN Kukusan

KOTA BELUD 7 Jun – Parti Warisan akan mengambil tindakan saman ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal kerana keluar daripada parti itu dan melanggar perjanjian.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal, berkata Rina akan menerima nasib yang sama dengan lima ADUN yang sudah keluar dari Warisan sebelum ini.

“Sebahagian mereka memang kita sudah bawa ke mahkamah kita heret mereka oleh kerana perjanjian yang telah kita nyatakan kepada mereka, pengakuan mereka.

“Itu (bawa ke mahkamah) sememangnya akan menjadi satu tindakan yang kita lakukan,” katanya.

Rina baru-baru ini mengumumkan keluar Warisan dan mengesahkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang diketuai Presidennya, Liew Yun Fah.

Lima wakil rakyat Warisan sebelum ini yang sudah keluar parti adalah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Dr Yusof Yaacob (Sindumin), Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Mohamaddin Ketapi, Peter Anthony (Melalap) dan Nuil Juatim (Limbahau).

Selepas lima ADUN itu keluar parti, Warisan kini memiliki 18 kerusi DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi, manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menegaskan tindakan bekas Naib Ketua Wirawati Warisan berkenaan tidak melemahkan parti terutama di kawasan Tawau dan Kalabakan.

“Kita masih mantap lagi di Tawau, Kalabakan. Berbagai langkah yang mereka lakukan untuk menekan, melemahkan Warisan. Warisan insya-ALLAH masih kuat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Kaamatan Warisan, di Dewan Kadamaian Square, dekat sini semalam.

Related posts

Leave a Comment