HFMD naik 32 kali ganda

PUTRAJAYA 7 Jun – Sebanyak 82,846 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan setakat Sabtu lalu, meningkat 32 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau memberitahu ketika pandemik Covid-19 pada tahun lalu, jumlah penyakit HFMD yang dilaporkan adalah 2,485 kes.

Secara keseluruhan, katanya, peningkatan kes HFMD disumbangkan oleh Selangor iaitu sebanyak 28.13 peratus atau 23,305 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (9,540), Perak (8,032), Kelantan (5,782) dan Johor (5,234), manakala negeri lain melaporkan 4,600 kes.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, iaitu sebanyak 74,841 kes atau 90 peratus, diikuti kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun dengan 6,520 kes atau lapan peratus dan selebihnya berusia lebih 12 tahun iaitu 1,485 kes atau dua peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di negara ini, KKM mengesan tiga virus utama menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti, iaitu Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16).

Pada tahun ini, terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu bagi kes pertama dan kedua, masing-masing kerana komplikasi radang otak (encephalitis) dan sehingga kini masih bawah pemantauan rapi di wad berkenaan.

“Bagi kes ketiga, pesakit sudah sihat dan dibenarkan pulang ke rumah pada 31 Mei lalu,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 1,746 wabak HFMD dilaporkan di negara ini dan tiga negeri mencatatkan kejadian tertinggi, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya dengan 562 wabak, diikuti Selangor 208 wabak dan Sarawak dengan 206.

“PWabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Menurut Dr Noor Hisham, lokasi penularan wabak adalah di taska, tabika, tadika dan prasekolah, iaitu 1,059 wabak atau 61 peratus, diikuti rumah persendirian dengan 605 wabak atau 35 peratus dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 56 wabak atau 3 peratus.

Beliau menjelaskan, cuti jaga anak diberikan kerajaan kepada penjawat awam, iaitu ibu atau bapa atau penjaga kepada anak yang disahkan HFMD dan memerlukan pengasingan.

Cuti itu diperuntukkan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian S.R.5.4.4 (Kemudahan Cuti Kuarantin) yang ditambah baik serta berkuatkuasa 4 Mac 2022 dengan HFMD antara tujuh penyakit diberikan kemudahan berkenaan.

Justeru KKM meminta ketua jabatan dalam perkhidmatan awam mengambil berat mengenai kemudahan cuti ini dan bersama-sama mengambil tanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan kes HFMD di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment