Elak pertikaian berdepan ‘masalah’

KUALA LUMPUR 6 Jun – Sikap ‘bila sudah merah, kapur salahkan kunyit dan kunyit salahkan kapur’ tidak akan dapat membantu dan membela nasib rakyat yang terhimpit dengan pelbagai dugaan termasuk krisis makanan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menitahkan demikian menasihatkan semua pihak mengelakkan pertikaian apabila berhadapan masalah sekuriti makanan dan peningkatan kos sara hidup.

“Kita semua seharusnya fokus kepada membantu memulih kemaslahatan rakyat,”

titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara, di sini, hari ini.

Titah Seri Paduka krisis sekuriti makanan perlu ditangani segera, terutama dalam keadaan dunia menghadapi pelbagai kemelut dan kejutan ketika ini.

Seri Paduka turut menitahkan agar satu pelan jangka panjang dirangka untuk mengukuhkan sekuriti makanan dan menjamin kos sara hidup berada pada tahap bersesuaian.

“Beta berharap kerajaan beta dan pemimpin di setiap lapisan menangani masalah kelangsungan hidup yang membelenggu segelintir rakyat beta, termasuklah kos sara hidup yang tinggi, di samping peningkatan harga komoditi industri serta makanan.

Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya memainkan peranan dengan menanam sikap berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah serta tidak melakukan pembaziran.

Seri Paduka turut menyanjung tinggi inisiatif pengukuhan perlindungan sosial yang dilaksanakan kerajaan, termasuk program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong menaruh harapan tinggi agar program itu dapat mencapai sasarannya untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2025.

“Pemimpin adalah tidak ubah bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak. Pemimpin adalah sandaran kepada harapan rakyat. Kebahagiaan dan kesusahan rakyat adalah cerminan diri yang wajib digalas oleh setiap pemimpin,” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka turut merakamkan terima kasih kepada seluruh anggota pentadbiran, penjawat awam, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang mencurahkan bakti kepada negara tercinta ini.

Al-Sultan Abdullah turut berpesan agar rakyat terus mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang tinggi bagi mewujudkan persekitaran kondusif dan selamat.

Related posts

Leave a Comment