SINGAPURA 5 Jun – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 2,256 kes baharu Covid-19 di Singapura setakat pukul 12 tengah hari ini (Ahad) yang terdiri daripada 2,145 jangkitan tempatan dan 111 kes import.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,318,984 dengan jumlah kumulatif kematian pula sebanyak 1,393 orang termasuk satu kes meninggal dunia hari ini.
Sebanyak 2,013 kes baharu Protokol 2 direkodkan iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.
Ini terdiri daripada 1,920 kes tempatan dan 93 kes import.p manakala 243 kes lagi disahkan menerusi ujian PCR di mana 225 adalah jangkitan tempatan, manakala 18 adalah kes import.
Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 0.86, sama seperti semalam, di mana kadar di bawah 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baru COVID-19 semakin merosot.
Sementara itu, seramai 290 pesakit masih dirawat di hospital, naik sedikit berbanding 289 semalam di mana 29 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, lapan dipantau rapi di ICU manakala 3,670 pesakit dibenarkan keluar hospital.
Setakat semalam, sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah lengkap divaksin di bawah program vaksinasi nasional.
