Solat Jumaat di Masjid WPKL

KUALA LUMPUR 3 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada  pukuk 1.07 tengah hari, disambut Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri Kabinet.

Sejurus ketibaan, Seri Paduka kemudian menyertai jemaah masjid untuk mendengar khutbah bertajuk ‘Dirgahayu Tuanku, Rahmat Selalu’ yang disampaikan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari.

Khutbah bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Isnin ini menyentuh mengenai amalan sistem Raja Berperlembagaan yang meletakkan Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan paling tinggi dan memiliki fungsi melindungi agama serta negara, selain menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat.

“Alhamdulillah, kita dikurniakan seorang Sultan berjiwa rakyat yang menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat insani dan berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam apa-apa jua situasi.

“Semoga kebijaksanaan pimpinan seorang Sultan akan diperkukuhkan dengan nasihat barisan ulama yang tegas dan barisan umara (pemerintah) yang ikhlas, akan didukung dengan ketaatsetiaan rakyat yang hidup harmoni dan lebih utama dilimpahi cahaya petunjuk Ilahi,” kata Muhyidin.

Beliau berkata, Malaysia juga melihat kebijaksanaan Seri Paduka dan Raja-Raja Melayu yang mengambil beberapa keputusan bijak menstabilkan negara dalam menghadapi kemelut politik dan cabaran ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.

“Syukur kepada Allah SWT, institusi diraja memayungi kita dengan keadilan dan kebijaksanaan dalam memastikan keamanan, dapat dinikmati seluruh rakyat. Maka, sewajarnya kita menumpahkan seluruh ketaatan dan kesetiaan sesuai prinsip asas Rukun Negara yang kita lafazkan sebagai warganegara,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed; Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Related posts

Leave a Comment