Majlis Presiden PH tolak GST

KUALA LUMPUR 1 Jun – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang disifatkan sebagai membebankan rakyat.

Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, mereka menegaskan, rakyat amat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup manakala pendapatan isi rumah turut berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Majlis Presiden PH tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk melaksanakan semula sistem GST.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan dan gaji tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dibuat bersama oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau.

Majlis Presiden PH berkata, Perdana Menteri perlu mengambil kira majoriti rakyat menolak GST dalam pilihan raya lalu.

Persepsi tatakelola dan urus tadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Malaysia juga berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedua dalam indeks kapitalisme kroni The Economist.

“Justeru, adalah tidak munasabah bagi kerajaan bercadang mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat tanpa membuktikan reformasi dan penambahbaikan urus tadbir kerajaan berjaya dilaksana,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden PH turut menegaskan wujud kebimbangan sekiranya kutipan cukai berkenaan mengakibatkan wang rakyat dibazir dengan rasuah, ketirisan dan kronisme.

Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, dilaporkan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan mengembalikan GST sebagai cara efektif menambah pendapatan negara menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Related posts

Leave a Comment