1,420 kes demam denggi seminggu

PUTRAJAYA 1 Jun – Sebanyak 1,420 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh seminggu sehingga 21 Mei lalu, jumlah tertinggi pernah direkodkan dalam Minggu Epidemiologi (ME) sejak 2021.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan dalam tempoh ME ke-20 2022 bermula 15 Mei itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kematian akibat komplikasi demam berkenaan.

Dalama satu kenyataan, beliau berkata pada ME ke-20 tahun ini, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah 1,420 berbanding 1,074 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 346 kes atau 32.2 peratus.

Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan dalam 2022 sehingga kini adalah sebanyak 16,145 kes berbanding 10,597 bagi tempoh sama sepanjang tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 5,548 kes atau 52.4 peratus.

Dalam tempoh berkenaan juga, sebanyak sembilan kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding lima kematian bagi tempoh sama pada 2021,” kata kementerian berkenaan.

Katanya, sebanyak 41 lokaliti ‘hotspot’ dilaporkan pada minggu ini berbanding 36 pada minggu sebelumnya dengan 36 lokaliti adalah di Negeri Selangor, tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan masing-masing satu di Melaka serta Sabah.

Beliau berharap dalam keadaan penularan jangkitan demam denggi yang tinggi ketika ini, setiap lapisan masyarakat perlu bertindak proaktif dengan memastikan persekitaran premis kediaman, tempat kerja dan sebagainya bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

Related posts

Leave a Comment