SELAMAT HARI WARTAWAN NASIONAL

KEPADA rakan-rakan wartawan, Selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA2022), satu pengiktirafan kepada golongan wartawan. Tidak lupa juga selamat mengingati hari kelahiran Utusan Melayu khususnya rakan-rakan yang pernah bersama Utusan.

Rasanya ini kali kedua sambutan HAWANA diadakan. Kali pertama pada 11 April 2018, berlangsung Wacana Hari Wartawan di MATRADE. Wacana dihadiri oleh penggiat media yang mewakili pelbagai media cetak dan elektronik. Hasil wacana itu, termeterai satu deklarasi, antaranya meraikan Hari Wartawan Nasional.

Pada sebelah petang, dalam Majlis Pelancaran Hari Wartawan Nasional, Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam ucapannya berkata : Kerajaan telah menerima cadangan proklamasi supaya Hari Wartawan Nasional disambut pada 29 Mei setiap tahun sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Satu penghargaan kepada Utusan Melayu yang diterbitkan pada Isnin 29 Mei 1939. Inilah akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal tenaga bangsa Melayu. Semangat muafakat dan setiakawan menjadikan akhbar ini satu kenyataan dan diterbitkan di Singapura. Akhbar edisi jawi itu bagaimanapun tinggal kenangan. Bukan setakat surat khabar yang mati, syarikat juga kini gulung tikar.

Semoga dengan adanya HAWANA, Utusan Melayu akan terus dikenang! Ingat HAWANA ingat Utusan Melayu walaupun Utusan Melayu sudah ‘pergi’ .

Related posts

Leave a Comment