Kopi Pejuang : HSA Singapura keluar amaran

SINGAPURA 26 Mei – Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau minum kopi tiga dalam satu ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ yang mendakwa boleh mempertingkatkan kesihatan seksual lelaki.

HSA dalam kenyataanya berkata, amaran itu susulan dua orang yang minum kopi itu jatuh sakit teruk, termasuk seorang mengalami priapisme atau ereksi alat kelamin selama empat jam selepas minum kopi itu.

Priapisme adalah keadaan perubatan yang serius dan boleh merosakkan tisu alat kelamin serta menyebabkan mati pucuk.

Menurut HSA, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kopi itu menunjukkan ia mengandungi kandungan tinggi tadalafil iaitu ubat rawat mati pucuk yang perlu dimakan mengikut arahan doktor.

Ia juga tidak mengandungi bahan semula jadi atau herba sebagaimana yang didakwa dalam bahan pemasaran di dalam talian.

HSA menyatakan pengguna yang mengambil produk mengikut arahan penggunaan seperti yang tertera pada label, iaitu satu paket setiap hari, berkemungkinan sudah mengambil terlebih dos 10 kali lebih banyak daripada dos Tadalafil yang ditetapkan.

Penggunaan tadalafil secara salah boleh membahayakan dan meningkatkan risiko termasuk serangan jantung, angin ahmar, rasa berdebar-debar, kadar degupan jantung tidak stabil dan priapisme (membangkitkan nafsu syahwat pada kelamin yang menyakitkan dan terlalu lama).

Taladafil juga boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius kepada individu tertentu, termasuk mereka yang mempunyai masalah berkaitan jantung.

Ia berpotensi menyebabkan tekanan darah rendah yang boleh mengancam nyawa dalam kalangan pengguna yang mengambil ubat-ubatan jantung, khususnya yang mengandungi nitrat.

Menurut HSA, ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1 dijual menerusi saluran e-dagang seperti Shopee, Lazada, Qoo11 dan Carousell, serta menerusi Facebook.

HSA bekerjasama untuk menghapuskan barangan itu dari senarai penjualan dan sudah mengeluarkan amaran kepada penjual.

Penjual serta pembekal produk itu boleh dikenakan pendakwaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda tidak melebihi S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Related posts

Leave a Comment