Bersatu sudah keluar surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR 26 Mei – Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin sudahpun menunjukkan tindak-tanduk bertentangan dengan parti sejak kebelakangan ini, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, Bersatu memang sudah membincangkan kedudukan Zuraida, selepas meneliti tindak-tanduk beliau yang terkini.

“Surat tunjuk sebab juga telah dikeluarkan hasil daripada pertimbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini susulan pengumuman Zuraida menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), sekali gus keluar Bersatu.

Wan Saiful juga berkata, peletakan jawatan oleh Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi,  bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia memang sudah dijangka.

Katanya, Biro Politik Bersatu juga sudah mengambil ketetapan mengenai kedudukan Zuraida dalam parti itu.

“Dalam keadaan seluruh negara sedang bercakap mengenai peri pentingnya kestabilan politik, nampaknya Zuraida bertindak berdasarkan pertimbangan sendiri saja,” katanya.

Mengenai kekosongan jawatan Kabinet susulan peletakan jawatan Zuraida, beliau berkata, Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, akan mencalonkan pemimpin Bersatu untuk mengisinya.

Jawatan terakhir disandang Zuraida dalam Bersatu adalah sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Sebelum menyertai Bersatu, Zuraida memegang jawatan Naib Presiden PKR, namun dipecat susulan tindakannya bersama beberapa Ahli Parlimen parti itu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui ‘Langkah Sheraton’.

Related posts

Leave a Comment