SINGAPURA membentangkan Belanjawan 2020 semalam yang turut memberi fokus membantu rakyat mengharungi cabaran jangka pendek akibat kesan penularan wabak Covid-19 sekarang di samping mengurangi beban kos sara hidup.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat ketika membentangkan belanjawan itu mengumumkan Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai $4 bilion bagi mengekalkan pekerja dalam suasana ekonomi yang lemah serta membantu syarikat dalam aliran tunai.
Sebanyak $1.6 billion diperuntukkan bagi Pakej Bantuan Keluarga yang akan membantu rakyat menangani kos sara hidup ketika ini. Setiap warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas tahun ini akan menerima bayaran tunai sekali sebanyak $300, $200 atau $100, bergantung kepada pendapatan mereka.
Golongan berpendapatan rendah juga akan mendapat bantuan tambahan melalui Bayaran Khas Daya Kerja yang membolehkan mereka menerima minimum $100 dalam bentuk tunai. Di samping itu, Baucar Barangan Dapur $100 setahun akan diberikan tahun ini dan tahun depan yang boleh digunakan di pasar raya utama.
Katanya, usaha juga akan diteruskan bagi meningkatkan kemahiran pekerja dan keupayaan syarikat bagi mempersiapkan mereka dalam tempoh jangka panjang.
Sebanyak $8.3 bilion diperuntukkan untuk tiga tahun mendatang bagi strategi transformasi dan pertumbuhan.
Bagi Pakej Penstabilan dan Bantuan, satu skim baru Skim Bantuan Pekerjaan akan diperkenalkan bagi membantu firma mengekalkan pekerja setempat. Skim itu akan mengimbangi 8 peratus gaji mereka sehingga had bulanan sebanyak $3,600 selama tiga bulan.
Sementara itu, kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dilaksanakan pada 2021 tetapi perlu dinaikkan menjelang 2025. Bagi menampung kenaikan GST, Pakej Jaminan GST bernilai $6 bilion akan diperkenalkan bagi meredakan kesan kenaikan GST terhadap rakyat Singapura.
Bagi memastikan kemahiran pekerja ditingkatkan , warga Singapura berusia 25 tahun dan ke atas akan menerima tokokan Kredit SkillsFuture sekali sebanyak $500 yang boleh diguna mulai 1 Oktober ini. Ini bertujuan menggalak rakyat ‘mengambil tindakan awal untuk belajar kemahiran baharu dan memanfaatkan tempoh kelembapan ekonomi ini dengan cara terbaik.
Satu lagi usaha membantu golongan pekerja ialah memperkenalkan Kredit Perusahaan SkillsFuture (SFEC) bagi menggalak majikan memulakan transformasi tenaga kerja dan perusahaan seiringan.