WASHINGTON – Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) merekodkan, bilionair Elon Musk membelanjakan lebih daripada AS$290 juta (RM1.3 bilion) untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.
Musk membuat ‘pelaburan’ berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Presiden Donald Trump dan parti Republikan dalam usaha luar biasa yang telah memberikannya akses tanpa precedent (duluan) kepada pentadbiran baharu.
Pemfailan hujung tahun yang merangkumi lima minggu terakhir tahun ini, turut mendedahkan perebutan pengaruh ketika pentadbiran baharu bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa.
Jawatankuasa kempen lama Trump – yang telah ditukar menjadi akaun baharu bagi membolehkannya terus berpengaruh dalam politik meskipun terhad kepada dua penggal – mengumpulkan hampir AS$21 juta (RM93.45 juta) dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, menurut laporan media, sebuah jawatankuasa tindakan politik (PAC) yang juga sekutu utama kempen Presiden Trump menerima beberapa sumbangan berjuta dolar termasuk AS$1 juta (RM4.45 juta) daripada calon Duta ke United Kingdom (UK) yang diumumkan pada hari sama beliau dicalonkan.
Pemfailan baharu dengan FEC pada Jumaat menunjukkan bahawa Musk telah menyumbangkan sekitar AS$11.2 juta (RM49.9 juta) kepada PAC utamanya iaitu America PAC, pada hari terakhir tahun itu – menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan politiknya untuk kitaran ini melebihi AS$290 juta (RM1.3 bilion), satu angka besar yang hanya disaingi oleh segelintir penderma mega lain.
Sumbangan akhir tahun Musk itu diperuntukkan untuk “insentif petisyen” yang berkaitan dengan pemberian hadiah jutaan dolar yang dianjurkannya melalui super PAC dalam minggu-minggu terakhir perlumbaan.
Nnnn