Brunei Darussalam ‘bebas’ 1 Jun

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Mei – Brunei Darussalam akan menamatkan Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan Covid-19 pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mohd Amin Liew Abdullah.

Berikutan itu, mulai 1 Jun, garis panduan langkah-langkah pengawalan Covid-19 akan dikemaskinikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua berkata, antara kemas kini itu termasuk tidak ada sebarang had dikenakan bagi perkumpulan ramai sama ada di rumah atau dewan.

Begitu juga semua aktiviti kesukanan termasuk pertandingan atau perlawanan dibenarkan tanpa had dikenakan bagi jumlah kehadiran penonton, penyajian makanan seperti bufet bagi apa jua acara di mana-mana premis tanpa sekatan.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam semalam, beliau berkata tiada lagi sekatan had umur bagi jemaah-jemaah yang hadir ke masjid.

Mulai 1 Jun,  kanak-kanak di bawah umur 12 tahun boleh ke masjid sama ada bagi menunaikan sembahyang fardu Jumaat atau sembahyang fardu lima waktu.

Bagaimanapun, syarat penggunaan tikar sembahyang sendiri semasa solat Jumaat dan fardu lima waktu adalah dikekalkan.

Katanya, pelitup muka hendaklah dipakai jika berada di dalam bangunan awam, digalakkan di luar bangunan terutamanya jika dalam keadaan penuh sesak.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk melakukan ujian ART sebelum menghadiri acara dan pada bila-bila masa berasa kurang sihat atau mempunyai tanda-tanda jangkitan, walaupun pemeriksaan suhu badan untuk masuk ke premis-premis tidak lagi dimestikan.

Perubahan tersebut, adalah mengambil kira keadaan jangkitan harian Covid-19 di Negara Brunei Darussalam yang stabil, kadar vaksinasi bagi dos ketiga (dewasa dan remaja) termasuk kadar vaksinasi kanak-kanak yang tinggi, dan kes-kes jangkitan yang teruk serta kadar bed occupancy di pusat pengasingan yang rendah.

Bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berkeinginan untuk membuat perjalanan keluar negara adalah dikehendaki untuk mendapatkan insurans perjalanan perubatan terlebih dahulu.

“Insurans ini bukan sahaja dapat menampung kos perubatan akibat jangkitan Covid-19, malah meliputi kos-kos lain seperti rawatan penyakit-penyakit lain atau kehilangan beg, jika terjadinya sesuatu musibah yang tidak dapat dijangkakan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, Jawatankuasa Pandu Covid-19 juga akan membuat penelitian dan kajian terhadap beberapa keperluan lain iaitu pelaksanaan ART mingguan bagi pegawai-pegawai dan kakitangan di sektor kerajaan dan swasta; pengimbasan kod QR Bru-Health; pembukaan sempadan darat dan laut; dan ujian swab pre-departure,yang mana hasil daripada penelitian ini dan tertakluk kepada situasi semasa nanti akan dimaklumkan kepada orang ramai pada satu tarikh kemudian.

Related posts

Leave a Comment