18 murid korban tembakan rambang

UVALDE: Angka kematian terkini insiden tembakan di sekolah rendah Robb di Texas, Amerika Syarikat (AS) dilapor meningkat kepada 21 orang susulan empat lagi kematian membabitkan murid sekolah berkenaan.

Menurut Senator Texas, Roland Gutierrez, ini menjadikan jumlah keseluruhan murid yang terkorban ialah 18 orang manakala jumlah mangsa dewasa yang terkorban meningkat kepada tiga orang setakat ini (10 pagi Malaysia).

Jumlah kematian ini menjadikan insiden tembakan rambang pada Selasa itu kedua paling dahsyat selepas kejadian di Parkland, Florida di mana 17 orang terbunuh.

Pada 2018, seramai 14 pelajar sekolah menengah dan tiga kakitangan Marjory Stoneman Douglas High School di Parkland, Florida terbunuh.

Insiden tembakan di sekolah paling dahsyat adalah di sekolah rendah Sandy Hook pada 2012 di Newtown, Connecticut di mana 20 kanak-kanak dan enam kakitangan terbunuh.

Sekolah Rendah Robb, yang terletak di bandar Uvalde, kira-kira 95 kilometer di timur sempadan Mexico, mempunyai 600 pelajar berdaftar.

Sementara itu suspek tembakan rambang di Texas,Salvador Ramos, 18, dilapor menembak neneknya sendiri sebelum melancarkan serangan di Sekolah Rendah Robb.

Walau bagaimanapun, keadaan nenek suspek yang tidak dinamakan itu setakat ini masih belum diketahui.

Selain itu, Ramos dilapor turut menghantar mesej dengan foto dirinya bersama senjata api kepada seorang wanita di Instagram sejam sebelum kejadian.

Akaun media sosial Ramos sebelum ini dilapor dipenuhi dengan gambarnya bersama senjata yang dibeli secara sah pada hari lahirnya yang ke-18.

Dalam kejadian tembakan rambang itu suspek turut terkorban dalam insiden itu ditembak mati oleh anggota polis yang dikerah ke lokasi.

Related posts

Leave a Comment