Pak Long Mail terima ijazah kehormat

TOKYO 24 Mei – Sumbangan ‘Pak Long Mail’ dalam memerangi pandemik Covid-19 terutama ketika menjadi Menteri Kanan Pertahanan Kluster Keselamatan mendapat pengiktirafan Universiti Nihon, Jepun.

Universiti terkemuka dan antara tertua di negara itu hari ini menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perubatan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang sedang mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari.

Presiden Universiti Nihon, Dr Naoto Kato menyampaikan anugerah itu di universiti berkenaan di bandar raya Itabashi, satu daripada pusat bandar yang terletak dalam metropolis Tokyo.

Ismail Sabri ketika ucapan penghargaannya berkata, anugerah itu bukan hanya untuknya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang bersatu hati bersama-sama kerajaan menghadapi pandemik Covid-19.

“Sesungguhnya anugerah ini adalah satu pengiktirafan besar bukan hanya untuk saya tetapi buat seluruh Keluarga Malaysia yang telah membuktikan keupayaan untuk menangani pandemik Covid-19 dengan cara sendiri,” katanya.

Mengimbau kembali detik pandemik Covid-19 melanda Malaysia pada Mac 2020, Ismail Sabri berkata, beliau diamanahkan menerajui serta mempengerusikan mesyuarat khas menteri-menteri dalam memerangi ancaman pandemik itu.

Bermula detik itu, katanya, seluruh kekuatan dan aset digembleng secara bersama iaitu agensi-agensi kerajaan termasuk pasukan kesihatan dan keselamatan selaku barisan hadapan digerakkan secara bersepadu dalam usaha menangani wabak berkenaan.

“Peperangan menentang Covid-19 ini adalah sesuatu yang besar dan mencabar,” katanya yang pada ketika itu dikenali sebagai Pak Long.

Pada waktu itu kemunculannya di kaca televisyen sentiasa dinantikan setiap petang bagi membolehkan rakyat mendapat perkembangan terkini berhubung pandemik Covid-19 serta langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil.

Berkongsi pengalaman Malaysia memerangi pandemik Covid-19, Ismail Sabri berkata segala faktor yang boleh menjadi punca kepada penularan wabak itu dikenal pasti dan ditangani sebaiknya.

Kerajaan katanya,  terpaksa bertindak tegas pada peringkat awal dengan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting sahaja.

“Kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita. Setiap peperangan mesti dimenangi dan nyawa rakyat Keluarga Malaysia mesti diselamatkan,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia sudah hampir berjaya, dengan mulai 1 April sudah membuka pintu sempadan dan mulai 1 Mei pula, prosedur operasi standard dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan tertutup dan tiada lagi penjarakan fizikal dan ia membolehkan semua sektor ekonomi dibuka sepenuhnya.

“Inilah hasil strategi kesihatan yang berkesan dan pelaksanaan kawalan pergerakan serta sokongan penuh daripada rakyat akhirnya kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga diiktiraf antara negara terbaik menangani pandemik Covid-19 oleh beberapa agensi seperti Bloomberg dan Nikkei.

Sementara itu Kato dalam kata-kata penghargaannya mengakui Ismail Sabri memainkan peranan penting dalam menangani pandemik Covid-19 dan memberi keutamaan kepada kehidupan dan kesihatan rakyat.

“Ini turut menyumbang dengan ketara kepada pembinaan kepercayaan dalam kerjasama perubatan antarabangsa dan peningkatan teknologi dalam diagnosis dan rawatan jarak jauh serta latihan pemulihan fungsi, katanya.

“Pencapaian sedemikian amat dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia,” kata Kato

Related posts

Leave a Comment