HFMD: Melaka tutup 12 premis

MELAKA 18 Mei – Sebanyak 12 premis berkaitan jagaan kanak-kanak terpaksa ditutup selepas Melaka mencatatkan 1,378 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat 14 Mei lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata penutupan tadika, taska dan pusat penjagaan kanak-kanak adalah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana wabak HFMD di premis terbabit.

Peningkatan semula bilangan kes HFMD yang dilaporkan adalah selepas cuti Aidilfitri yang berlaku atas faktor pergerakan dan taska, tadika serta pusat penjagaan beroperasi semula.

“Terdapat peningkatan 1,322 kes atau 24.6 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu 56 kes, dengan 95.5 peratus kes adalah kalangan berumur 0 hingga enam tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebanyak lapan kes HFMD dilaporkan dimasukkan ke wad pada Minggu Epidemiologi 19 (ME19) iaitu 8 Mei hingga 14 Mei lalu, peningkatan enam kes berbanding minggu sebelumnya iaitu dua kes.

“Secara keseluruhan, jumlah kemasukan ke wad kanak-kanak atau perubatan adalah 67 kes dan majoriti kes (91.4 peratus) dirawat sebagai pesakit luar. Tiada kematian dilaporkan setakat ini,” katanya.

Mengikut pecahan daerah pula, Dr Muhamad Akmal menjelaskan daerah Melaka Tengah mencatat 124 kes, peningkatan sebanyak 69 kes (125.4 peratus) berbanding minggu sebelumnya iaitu 55 kes.

Alor Gajah dan Jasin, masing-masing melaporkan 162 kes dan 115 kes. Kedua-dua daerah ini meningkat 100 peratus berbanding sebelum ini yang tiada kes.

Dr Muhamad Akmal turut menjelaskan setakat 14 Mei juga, terdapat tiga kluster HFMD dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 16 kluster wabak dengan daerah Jasin mencatat bilangan tertinggi iaitu 11 (68.8 peratus) diikuti empat di Melaka Tengah (25 peratus) dan Alor Gajah satu (6.2 peratus).

Related posts

Leave a Comment