SOP kelab malam, karaoke di Sabah

KOTA KINABALU 13 Mei – Sabah membenarkan premis kelab malam dan karaoke berlesen beroperasi mulai esok (14 Mei) dengan tiga ketetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan Covid-19, Masidi Manjun berkata, SOP pertama adalah tidak dibenarkan tari-menari sepanjang berada dalam premis.

Kedua, individu yang memasuki kelab malam dan karaoke juga hendaklah lengkap divaksin dan menerima dos penggalak.

Selain itu, pemeriksaan mengenai tahap risiko dan imbasan MySejahtera adalah diwajibkan sebelum memasuki kelab malam atau karaoke.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dalam kenyataannya berkata sebanyak 78 kes baharu dilaporkan pada hari ini iaitu peningkatan sebanyak 21 kes berbanding semalam.

Menurutnya, pertambahan jumlah jangkitan yang berpunca daripada aktiviti-aktiviti sambutan perayaan mula menepati ramalan awal.

Sebanyak 12 daerah mencatatkan pertambahan jangkitan baharu berbanding sembilan daerah yang merekodkan penurunan kes.

Kota Kinabalu dengan 21 kes dan Papar 16 kes merupakan dua daerah di negeri ini yang mencatatkan jangkitan baharu dua angka.

Tambah beliau, angka jangkitan harian di Kota Kinabalu dan dan daerah-daerah sekitar bandar raya di jangka kekal tinggi atau bertambah sehingga minggu pertama bulan Jun.

Related posts

Leave a Comment