Kes pertama Covid-19 Korea Utara

PYONGYANG 12 Mei – Korea Utara mengesahkan wabak Covid-19 pertama di negara itu hari ini, apabila media kerajaan melaporkan sub varian Omicron yang sangat mudah merebak dikenali BA.2 dikesan di Pyongyang.

Menurut media kerajaan, terdapat insiden kecemasan terbesar di negara ini selepas lebih dua tahun mengekang penularan wabak berkenaan.

Laporan itu berkata, individu di Pyongyang dijangkiti virus Omicron, bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai angka kes atau kemungkinan sumber jangkitan.

Laporan itu diterbitkan ketika pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mempengerusikan mesyuarat Parti Pekerja untuk membincangkan tindak balas terhadap wabak pertama Covid-19.

Agensi berita rasmi KCNA berkata, Jong Un memberitahu dalam mesyuarat berkenaan matlamatnya adalah untuk menghapuskan ‘akar’ virus dalam tempoh paling singkat.

Jong UN turut meminta kawalan sempadan dan langkah penutupan yang ketat dengan memberitahu rakyat untuk menyekat sepenuhnya penyebaran virus termasuk di kawasan secara menyeluruh di semua bandar dan daerah di seluruh negara.

Korea Utara sebelum ini melaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiada kes Covid-19 dilaporkan di negara itu selepas kira-kira 36,000 rakyatnya disaring.

Negara itu yang mendakwa bebas Covid-19 mengambil pendekatan dan tindakan tegas membendung penularan seperti kawalan ketat di sempadan sejak awal 2020.

Related posts

Leave a Comment