WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan “mentadbir” Venezuela sehingga peralihan kuasa yang selamat, teratur dan adil dapat dilaksanakan susulan penangkapan Presiden Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores.
Presiden Donald Trump pada sidang media yang memperincikan operasi tersebut, menyifatkan misi menangkap Maduro dan isterinya sebagai “serangan yang tidak pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua”.
Beliau turut memuji ia sebagai “antara demonstrasi kuasa, kekuatan dan kecekapan Amerika yang paling menakjubkan dalam sejarah.”
Trump turut membandingkan serangan itu dengan Operasi Midnight Hammer yang memusnahkan fasiliti nuklear Iran pada Julai lalu, serta pembunuhan Jeneral Iran, Qasem Soleimani pada 2020.
Beliau menegaskan, semua keupayaan ketenteraan Venezuela kini “dilumpuhkan sepenuhnya.”
Operasi berskala besar yang melibatkan kekuatan udara, darat dan laut Amerika itu dilaporkan berjaya tanpa sebarang korban jiwa atau kehilangan aset ketenteraan AS.
Trump mengesahkan Maduro dan Cilia Flores akan didakwa atas tuduhan pengedaran dadah dan keganasan narco di Mahkamah Daerah Selatan New York.
Maduro dituduh melancarkan “kempen keganasan dan subversi tanpa henti” terhadap AS selama bertahun-tahun selepas tamat tempoh pemerintahannya, yang menurutnya mengancam keselamatan rakyat Amerika dan kestabilan rantau itu.
Trump juga mengaitkan Maduro dengan penyeludupan dadah berskala besar yang membawa “penderitaan dan kemusnahan manusia” khususnya di AS.
Selain itu, Trump mendakwa Maduro menghantar anggota geng Venezuela, Tren de Aragua ke AS untuk “menakutkan” komuniti tempatan, termasuk kes pembunuhan kanak-kanak berusia 12 tahun, Jocelyn Nungaray, di Houston pada 2024.
“Maduro tidak akan sekali-kali mampu mengancam keselamatan rakyat Amerika lagi,” tegas Trump.
Serangan udara berskala besar yang membawa kepada penangkapan Maduro berlaku awal pagi Sabtu di Caracas serta negeri Miranda, Aragua dan La Guaira, sekali gus memaksa kerajaan Venezuela mengisytiharkan darurat nasional dan menggerakkan pelan mobilisasi.
Sekurang-kurangnya tujuh letupan dan pesawat terbang rendah dilaporkan sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan di Caracas.
Kerajaan Venezuela mengecam “pencerobohan ketenteraan” AS dan menggesa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB.
Tindakan Trump berisiko mencetuskan bantahan Kongres yang mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengisytiharkan perang, selain kritikan daripada sebahagian penyokong dasar “America First” yang menolak campur tangan ketenteraan luar negara.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menjelaskan, Kongres dimaklumkan sejurus selepas operasi selesai, kerana misi itu bersifat “berdasarkan pencetus” dan tidak boleh didedahkan lebih awal.
Beberapa ahli politik Demokrat mengkritik tindakan tersebut sebagai “kembali kepada era AS mendominasi urusan politik dalaman negara-negara di Hemisfera Barat.”
Nnn
