KUALA LUMPUR 7 Nov. – Sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib Abdul Razak disifatkan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut titah Yang di-Pertuan Agong yang dikeluarkan Istana Negara, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Titah itu turut menegaskan perintah pengampunan berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.
Pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sudah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara kemudian memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Selanjutnya baginda memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta,” menurut kenyataan itu hari ini.
Titah itu turut menjelaskan kuasa pengampunan adalah prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, pelaksanaan kuasa berkenaan hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu turut menjelaskan, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang sudah diperkenankan.
Semalam, UMNO mengesahkan segala proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian dilapor menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.
Menurut kenyataan AGC, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
Terdapat dua interpretasi perlu diberikan penelitian lanjut, pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Dalam keadaan itu, AGC berpandangan tahanan di rumah ialah kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman berkenaan.
Interpretasi kedua, pembayaran denda RM50 juta ialah syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya yang membawa kesan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara dianggap selesai.
Nnn
