922 kes harian, 9 kematian

PUTRAJAYA 4 Mei – Kes positif harian Covid-19 negara turun kepada tiga angka dengan 922 kes dilaporkan setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah keseluruhan 4,451,781 kes dengan 31,834 kes aktif.

Kali terakhir negara mencatatkan kes harian tiga angka pada 29 Mac tahun lalu iaitu 941 kes sebelum terus melonjak ke empat angka pada 30 Mac dengan 1,133 kes dan sejak 15 April lalu,  penurunan kes direkodkan dari lima angka ke empat angka.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, hanya satu kes import dilaporkan semalam, manakala kes selebihnya adalah penularan tempatan.

Sebanyak 30,821 kes aktif kini menjalani isolasi di rumah, 14 dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 929 menjalani rawatan di hospital.

Seramai 23 menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi tidak memerlukan bantuan pernafasan dan seramai 46 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, sebanyak 5,520 sembuh dilaporkan semalam menyumbang kepada sejumlah 4,384,384 kes yang sudah pulih dari jangkitan Covid-19.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaporkan sembilan kematian akibat Covid-19 dengan lima daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Dua kematian dilaporkan masing-masing di Kedah (kedua-duanya kes BID) dan Perak manakala masing-masing satu kematian di Johor (kes BID), Pahang (kes BID), Pulau Pinang (kes BID), Sarawak dan Selangor.

Related posts

Leave a Comment