Selesa pakai pelitup muka

ORANG ramai di Korea Selatan masih mengekalkan pemakaian pelitup muka walaupun pihak berkuasa menarik balik arahan pemakaiannya di luar mulai 2 Mei lalu.

Satu tinjauan menunjukkan masih ramai yang mengenakannya sebagai langkah berjaga-jaga terutama di daerah yang sibuk seperti Gwanghwamun, lokasi  terletaknya kebanyakan bangunan kerajaan dan korporat.

Selain untuk tujuan keselamatan, mereka yang masih memakai pelitup muka berasa janggal untuk membuka pelitup muka selepas mengenakannya selama lebih dua tahun.

Sejak lebih dua tahun, pemakaian pelitup muka adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengekang penularan Covid-19.

Langkah memansuhkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu, dalam peralihan ke fasa seterusnya, diambil selepas kes jangkitan baharu yang direkodkan di negara itu mula berkurangan.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA), 20,084 individu dilaporkan positif Covid-19 pada Ahad, dengan kes jangkitan harian terus menurun berbanding lebih 620,000 pada pertengahan Mac.

Negara berpopulasi 52 juta penduduk itu berjaya mengekang kes Covid-19 tidak melebihi 17,295,733 jangkitan dengan 22,958 kematian.

Related posts

Leave a Comment