SINGAPURA 2 Mei – Pejabat Mufti Singapura tampil memberi penjelasan berhubung pengumuman awal Syawal tahun ini yang ditetapkan pada 3 Mei.
Kenyataan lewat malam tadi adalah susulan kekeliruan dan komen-komen negatif yang disuarakan di lelaman media sosial mengenai perbezaan tarikh 1 Syawal antara Singapura dengan negara-negara Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama (MABIMS) yang lain iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam menyambut Aidilfitri sehari lebih awal iaitu pada Isnin, 2 Mei
Dalam kenyataannya yang diterbitkan di Facebook Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir menjelaskan bahawa penentuan bagi permulaan dan pengakhiran bulan Ramadan adalah mengikut panduan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan menggunakan dua kriteria utama iaitu ‘hisab’ dan ‘rukyah’.
Kriteria ‘hisab’ merupakan perhitungan berdasarkan sains falak, manakala ‘rukyah’ pula ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan.
Menurut Dr Nazirudin, adalah agak sukar untuk anak bulan kelihatan di Singapura disebabkan oleh keadaan cuaca yang selalunya mendung.
Oleh demikian, Singapura menggunakan pendekatan yang dipersetujui oleh negara-negara MABIMS bagi menentukan penampakan anak bulan iaitu ‘imkan ar-rukya’.
Kriteria tersebut disemak dan diperhalusi oleh negara-negara MABIMS sejak 2017 dan dikemas kini pada 2021 berdasarkan lebih 700 titik data penampakan anak bulan dari seluruh dunia.
Pengemaskinian itu turut mengambil kira dua faktor semasa terbenamnya matahari pada hari ke-29 Ramadan iaitu
(a) sudut dongak anak bulan mesti melebihi tiga darjah dan
(b) kadar pemanjangan antara matahari dan bulan mesti melebihi 6.4 darjah.
Berdasarkan kriteria tersebut, anak bulan tidak dapat dilihat di Singapura semasa waktu Maghrib pada 29 Ramadan.
Menurut kenyataan itu, Pejabat Mufti bersama para pakar sains falak cuba mencerap anak bulan pada Ahad namun ia tidak kelihatan.
