Itali kekal pelitup muka hingga 15 Jun

ITALI antara negara paling teruk dilanda Covid-19 mewajibkan pelitup muka kepada pengguna pengangkutan awam selain di beberapa tempat tertutup sehingga 15 Jun,

Menteri Kesihatan Roberto Speranza berkata, pelitup muka masih diperlukan untuk memasuki pawagam, teater, acara dalaman dan hospital.

Katanya, Itali menangguhkan penamatan sekatan pandemik dan berhati-hati dalam menarik balik langkah sekatan yang masih ada..

“Kami memutuskan untuk mengekalkannya buat sementara waktu, sekurang-kurangnya sehingga 15 Jun, langkah berhati-hati yang saya percaya ia perlu dilaksanakan,” kata Speranza.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan sijil kesihatan yang membuktikan vaksinasi atau pemulihan daripada coronavirus tidak lagi diperlukan untuk mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan, termasuk restoran, gimnasium dan pengangkutan awam, mulai 1 Mei.

Itali, negara Barat pertama yang dilanda penyakit itu dan setakat ini mencatatkan 163,244 kematian, jumlah kelapan tertinggi di dunia.

Kira-kira 84 peratus orang Itali menerima dua dos vaksin yang disyorkan, manakala lebih 65 peratus menerima suntikan dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment