Korea Selatan tarik balik pelitup muka

KOREA Selatan akan menarik balik arahan pemakaian pelitup muka di luar bangunan mulai minggu depan, langkah terbaharu negara itu untuk melonggarkan sekatan Covid-19, kata Perdana Menteri Kim Boo-kyum.

Bagaimanapun orang ramai masih diwajibkan memakai pelitup muka pada majlis dihadiri 50 orang atau lebih, seperti di perhimpunan, konsert dan stadium.

Langkah itu dibuat selepas dua minggu Korea Selatan membatalkan kebanyakan sekatan berkaitan wabak, termasuk perintah berkurung pada tengah malam di restoran dan perniagaan lain, pada 18 April.

“Kami membuat kesimpulan bahawa kami tidak boleh lagi berpaling dari… kesulitan dialami rakyat yang mana mereka perlu memakai pelitup muka walaupun berjalan sendirian atau berkelah bersama keluarga,” kata Kim

Jumlah kes Covid-19 di Korea Selatan berada di bawah 100,000 sehari selepas memuncak kepada lebih 620,000 sehari pada pertengahan Mac.

Korea Selatan sebahagian besarnya berjaya mengehadkan kematian dan kes kritikal melalui vaksinasi yang meluas di mana hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduk negara itu telah divaksin sepenuhnya, dan 65 peratus diberikan dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment