17,000 tan sisa makanan sehari

PUTRAJAYA 25 April –  Sebanyak 38,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari dan daripada jumlah itu 17,000 tan adalah sisa makanan merangkumi 44.5 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican, berkata daripada jumlah sisa makanan itu, 76 peratus merangkumi sisa makanan yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dimakan oleh manusia seperti sisa tulang dan kulit buah-buahan.

Sebanyak 24 peratus lagi adalah sisa makanan yang boleh dielakkan iaitu lebihan makanan seperti nasi, pasta, daging dan sayur-sayuran.

Isi rumah di negara ini secara puratanya kerugian RM210 setiap bulan atau RM2,600 setahun akibat pembaziran makanan. Sebanyak 4,046 sisa makanan dapat dielakkan dan jumlah berkenaan mampu memberi makan tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.

Trend peningkatan sisa makanan ini dilihat meningkat antara 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan.

Berikutan itu Kementerian menganjurkan kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran #JomTapau yang bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan serta menurunkan jumlah sisa makanan yang dilupuskan di tapak pelupusan bagi mengelakkan kesan pencemaran dan pemanasan global.

“Kempen #JomTapau ini sebagai inisiatif terbaik yang kita anjurkan supaya masyarakat digalakkan untuk membungkus atau menyimpan lebihan makanan bagi mengelakkan ia dibazirkan. Inisiatif ini sudah diperkenalkan sejak 2015,” katanya dalam ucapan sempena Pelancaran Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran #JomTapau di kementeriannnya, hari ini.

Reezal berkata, sekiranya tidak dicegah, jumlah peratusan sisa makanan itu akan terus meningkat seterusnya memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam.

Related posts

Leave a Comment