Kes harian turun kepada 5,624

PUTRAJAYA 24 April – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 terus mencatatkan penurunan semalam dengan merekodkan 5,624 berbanding 6,342 kes kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,427,067 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 3,835 kes atau 68.19 peratus adalah membabitkan pesakit dalam Kategori 2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai 1,765 pesakit atau 31.38 peratus dalam Kategori 1, manakala 12 pesakit atau 0.21 peratus dalam Kategori 3 dan masing-masing enam pesakit (0.11 peratus) dalam Kategori 4 dan 5.

Daripada 24 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan semalam, sebanyak 10 kes (41.67 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi.

Sebanyak lapan kes (33.33 peratus) sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan enam kes (25.00 peratus) sudah menerima dos penggalak.

Seramai 12 pesakit atau 50 peratus adalah individu berusia 60 tahun ke atas manakala 12 kes lagi mempunyai komorbid manakala satu kes membabitkan ibu hamil turut dikesan.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 89 perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, KKM turut mengesan satu kluster baharu jangkitan semalam, menjadikan sejumlah 7,003 kluster Covid-19 dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 6,904 kluster sudah ditamatkan manakala 99 kluster masih aktif.

Katanya, tiada negeri yang mencatatkan penggunaan Katil Kes Kritikal ICU; Katil Bukan ICU dan Katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melebihi 50 peratus setakat semalam.

Beliau berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun 57 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 8 peratus.

Sebanyak 218 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 111 kes (50.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 107 kes (49.1 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Related posts

Leave a Comment