200,000 rakyat Sabah berhijrah

SIPITANG 24 April – Hampir 200,000 rakyat Sabah berhijrah ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

Justeru menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), Sabah sedang berusaha mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak mungkin bagi mengelakkan penghijrahan.

Katanya, Sabah di bawah pimpinan GRS-BN memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing untuk datang. “Kita mahu bawa masuk pelabur ke Sabah supaya kita dapat wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kaum belia kita,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata 10 syarikat utama telah menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) untuk melabur dalam Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) dengan pelaburan berjumlah berbilion ringgit, yang apabila siap, akan memberi manfaat terus kepada orang ramai terutama belia, menerusi penawaran peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran di peringkat awal pembangunannya, kerajaan negeri berjaya mewujudkan Hala Tuju SMJ, iaitu rancangan lima tahun bagi memajukan Sabah, yang dilancarkan hanya dalam tempoh enam bulan selepas kepemimpinan baharu mentadbir negeri.

“Dalam tempoh sekitar setahun menerajui kerajaan negeri, kita telah berjaya menarik kehadiran ramai pelabur untuk datang jke sini, dan ada yang telah pun menandatangani perjanjian untuk memulakan operasi di Sabah” katanya.

Antara projek berimpak tinggi yang telah dilaksanakan adalah dua di kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu Industrial (KKIP) dan satu lagi di Paitan.

Related posts

Leave a Comment