Suasana hari raya kereta api

SINGAPURA 22 April – Mulai semalam sehingga 2 Jun, orang ramai boleh menaiki kereta api (MRT) bertemakan Hari Raya di semua enam laluan sempena meraikan musim perayaan yang bakal menjelang.

Satu kereta api di kesemua laluan- khususnya Laluan Circle, Laluan Downtown, Laluan Timur-Barat, Laluan Timur Laut, Laluan Utara-Selatan dan Laluan Thomson-East Coast – akan dihias untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri  pada 3 Mei ini.

Sementara itu, khidmat bas nombor 7, 28 dan 154 – yang melalui kawasan Geylang Serai serta kawasan kejiranan lain – juga bakal bertemakan Hari Raya dan dilancarkan secara bertahap-tahap mulai Mei.

Menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA), pihaknya bekerjasama dengan Kawasan Undi Geylang Serai, Pusat Warisan Melayu dan pengendali pengangkutan awam  untuk memperkenalkan ciri-ciri bertemakan cuti umum perayaan kepada rangkaian pengangkutan awam.

Selain bas dan kereta api, laluan penghubung pemindahan di Pusat Pertukaran MRT Paya Lebar – yang menghubungkan Laluan Timur-Barat dan Laluan Circle – juga akan dihiasi untuk meraikan Hari Raya dan saling melengkapi kereta api yang bertemakan sambutan Lebaran itu.

Hab Pengangkutan Bersepadu Ang Mo Kio dan Boon Lay juga akan dihias untuk menyambut Hari Raya Puasa.

Sementara itu Datuk Bandar Tenggara Fahmi Aliman berkongsi di Facebooknya pengalaman beliau menaiki sendiri salah sebuah kereta api bertemakan Hari Raya itu di stesen Pasir Ris di Laluan Timur-Barat hari ini.

“Tema Hari Raya ‘Gotong-Royong – Perpaduan & Daya Bingkas’ terdiri daripada perhiasan bunga-bunga kembang mekar dan ikon-ikon yang diilhamkan daripada nilai-nilai serta tradisi masyarakat Muslim,” kata Anggota Parlimen GRC Marine Parade bagi kawasan Geylang Serai.

LTA menyatakan stesen kereta api, kereta api dan bas yang bertema adalah sebahagian daripada usaha LTA untuk menceriakan pengalaman penumpang ketika melakukan perjalanan ulang-alik semasa musim perayaan serta memupuk budaya penumpang yang positif.

Related posts

Leave a Comment