PM Lee hargai masyarakat Islam

SINGAPURA 22 April – Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, menyatakan penghargaannya kepada masyarakat Islam setempat di atas pengorbanan dan pemahaman mereka, bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menguruskan pandemik Covid-19.

Lee turut mengiktiraf usaha masjid-masjid yang memastikan solat, program keagamaan dan pengumpulan derma dijalankan secara selamat.

“Dua tahun yang lalu adalah masa yang sangat mencabar dan sukar untuk semua orang. Tetapi anda memahami cabaran kesihatan awam, dan menyesuaikan amalan untuk mematuhi garis panduan nasional dan langkah pengurusan selamat,” katanya

pada majlis berbuka puasa hibrid di Masjid Al-Muttaqin semalam,

Beliau gembira melihat pemimpin-pemimpin agama di Singapura memimpin masyarakat mereka melalui teladan untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Saya berharap kita akan meneruskan usaha-usaha ini untuk mengukuhkan keharmonian berbilang kaum dan berbilang agama kita, sebagai satu rakyat yang bersatu padu supaya Singapura boleh terus maju dan berjaya untuk tahun-tahun yang akan datang,” tambahnya.

Lee berkata situasi Covid-19 di Singapura semakin baik, dan ia tidak akan dapat beransur pulih tanpa usaha dan sikap bertanggungjawab rakyat Singapura, termasuk masyarakat Islam

Beliau mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Islam, terutama kepada kepimpinan Jawatankuasa Fatwa dan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, serta barisan asatizah yang telah memberi bimbingan yang tepat dan sesuai untuk konteks Singapura.

Dengan lebih ramai masyarakat Islam kini dapat kembali ke masjid dan kegiatan seperti solat Jumaat dan tarawih secara berjemaah dapat dijalankan hampir secara biasa.

Lee berkata secara bertahap-tahap, semangat persaudaraan di antara anggota masyarakat akan dapat kembali disuburkan.

“Saya harap kita dapat meneruskan amalan-amalan baik yang telah dipelajari sepanjang pandemik ini, dan memperkukuhkan lagi nilai-nilai murni kita agar dapat lebih berdaya tahan,” katanya.

Hadir sama termasuk Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Saat Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad.

Related posts

Leave a Comment