Lebih separuh kes bergejala

PUTRAJAYA 21 April – Sebanyak 6,968 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam dan daripada jumlah itu 58.60 peratus atau 4,083 kes membabitkan individu bergejala atau kategori dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini seramai 4,409,202 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata, turut mencatatkan pertambahan ialah kategori satu dengan 2,854 kes, kategori lima (12), kategori tiga (11) dan kategori empat (lapan).

Secara keseluruhannya, daripada 31 kes dalam kategori tiga hingga lima itu terdapat 19 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid serta masing-masing 15 kes membabitkan individu berumur 60 tahun dan ke atas serta individu sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak.

Selain itu seramai 12 individu mempunyai dos penggalak dan empat lagi tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin.

Sehingga kini terdapat 90,724 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19, daripada jumlah berkenaan 97.5 peratus iaitu 88,489 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Sebanyak 1,955 kes pula sedang mendapatkan rawatan dan kuarantin di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) (183), Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (63), tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (34).

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 243 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital yang membabitkan seramai 124 kes dalam kategori satu dan dua serta 119 kes lagi adalah kategori tiga hingga lima.

Sementara itu laman sesawang COVIDNOW menunjukkan Selangor kekal menjadi negeri tertinggi melaporkan kes harian dengan pertambahan empat angka iaitu sebanyak 4,651 kes.

Ini diikuti Kuala Lumpur sebanyak 458 kes, Negeri Sembilan (379), Pedrak (310), Pulau Pinang (204), masing-masing 186 kes dilaporkan di Johor dan Melaka, Kedah (143) dan Sarawak (139).

Selain itu ialah Sabah dengan 83 kes baharu, Pahang (67), Putrajaya (51), Terengganu (50), Kelantan (42), Perlis (13) dan Labuan (enam).

Sebanyak empat kluster baharu direkodkan dan menjadikan sehingga kini terdapat 106 kluster yang masih aktif.

Bagi kes sembuh di negara ini, setakat semalam sebanyak 8,267 kes dilaporkan menjadikan sehingga kini sejumlah 4,283,013 individu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment