Kuota haji Malaysia 14,306

KUALA LUMPUR 21 April – Kuota haji Malaysia tahun 2022 kurang apabila hanya 14,306 orang atau  45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima sebelum ini kira-kira 31,600 jemaah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, peratusan sama iaitu 45 peratus terpakai kepada semua negara.

Katanya, jemaah pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar. Jumlah sejuta jemaah itu adalah 45 peratus daripada 2.5 juta orang pada 2019.

Idris berkata, kuota sebanyak 14,306 jemaah itu ialah penurunan daripada seramai 31,600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu, pada 2019.

“Ini (kuota jemaah bagi musim haji 2022) sudah tentunya berikutan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia,” katanya dalam satu pengumuman hari ini.

Beliau bagi pihak Kerajaan Malaysia, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota diberikan kepada jemaah haji Malaysia.

Idris berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik Covid-19.

TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dengan bakal jemaah terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin Covid-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa ditetapkan.

Mengulas lanjut, katanya, bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat pengurusan TH, esok.

Related posts

Leave a Comment